Gadai hutan juga punca banjir

Penebangan hutan merupakan punca masalah banjir menjadi semakin kritikal di Malaysia. Penebangan hutan secara haram atau dibenarkan, memberi kesan besar kepada kestabilan ekosistem, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Banjir menyebabkan kerosakan harta dan infrastruktur – gambar ihsan Najmuddin M. Faudzir

Ketika ini, sebilangan rakyat Malaysia menyambut awal tahun 2021 dengan satu lagi gelombang bencana banjir yang besar. Ini bukanlah masalah baharu. Isu nasional ini pasti kedengaran saban tahun. Anehnya, dengan kemajuan teknologi dan sistem pengurusan di Malaysia, impak banjir masih lagi pada tahap kritikal. Masalah ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan infrastruktur dan harta awam, malah turut mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa ketika artikel ini ditulis. Hal ini menjadi semakin parah dengan situasi pandemik COVID-19 yang mudah merebak di kawasan sesak seperti pusat pemindahan dan penempatan sementara mangsa banjir.

Mungkin benar, banjir yang berlaku bukanlah disebabkan oleh penerokaan hutan semata-mata. Malah, tidak dinafikan hujan lebat yang berterusan turut memainkan peranan di samping perancangan sistem perparitan dan perumahan yang tidak holistik.

Namun begitu, pelbagai kajian yang telah dilaksanakan oleh penyelidik dalam dan luar negara mengaitkan peningkatan risiko banjir teruk dengan aktiviti ‘pembersihan’ hutan (clearcutting). Dalam situasi hujan lebat berterusan, hutan bertindak sebagai span semula jadi yang menyerap air hujan sebelum dialirkan ke sungai. Jika ditebang, air hujan yang tidak lagi diserap akan menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak. Hakisan tanah yang berlaku hasil daripada aktiviti penebangan turut mencetekkan dasar sungai, di samping kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di kawasan sekitar hutan yang ditebang.

Hutan di Malaysia rata-ratanya sudah dibalak – gambar Google Earth

Dari segi ekonomi, kita sedar sumber hutan merupakan salah satu punca pendapatan penting bagi kerajaan negeri. Kawasan hutan yang dibersihkan (clearcut) juga dapat memberi ruang kepada perusahaan tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit. Malah, tanaman bukan komoditi seperti durian dan nanas juga dijangka akan menjadi sumber kekayaan baharu bagi kerajaan negeri.

Di sinilah pentingnya satu usaha mencari titik seimbang antara pemeliharaan hutan dan pembangunan ekonomi negeri dirangka dan dilaksanakan secara berkesan. Mungkin sudah tiba masa untuk kita memandang serius cadangan pelbagai badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), gerakan, penyelidik dan orang awam dalam menangani masalah penebangan hutan di Malaysia.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) misalnya menggesa supaya kerajaan negeri, melalui kerajaan pusat, memohon dana antarabangsa untuk memulihara hutan. Antara agensi antarabangsa yang terlibat ialah Global Environment Facility (GEF) dan Green Climate Fund (GCF). Dana antarabangsa seumpama ini menyokong keperluan negara membangun seperti Malaysia dari aspek perlindungan hutan. Hal ini penting kerana hutan menyediakan perkhidmatan ekosistem yang bernilai tinggi seperti kawasan tadahan air, penyerap gas rumah hijau, dan habitat kepada hidupan liar yang memberi impak merentas sempadan nasional dan antarabangsa.

Penebangan hutan secara clearcutting merupakan amalan yang tidak lestari dan menjejaskan kitaran hidrologi – gambar ihsan Najmuddin M. Faudzir

Selain itu, pendekatan yang serupa melalui pengenalan instrumen Ecological Fiscal Transfer (EFT) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam Belanjawan 2021 amatlah dialu-alukan. Instrumen ini menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri mewartakan kawasan perlindungan yang memberikan perkhidmatan ekosistem yang penting. Diharapkan instrumen ini dapat menjadi insentif kepada kerajaan negeri untuk memelihara hutan mereka.

Akhir kata, ayuhlah kita berhenti menuding jari ke langit dan menyalahkan faktor cuaca setiap kali berlaku bencana alam seperti banjir di Malaysia. Sebaliknya, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai khalifah dalam menjaga kelestarian alam sekitar melalui jawatan-jawatan yang telah diamanahkan kepada kita. Suka untuk penulis mengakhiri tulisan ini dengan muhasabah dari petikan ayat al-Quran, surah Ar-Rum, ayat 41:

 “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (33:41).

Ditulis oleh Dr Aqilah Awg Abdul Rahman merupakan penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Pengurus Kempen MyHutan oleh Undi18. Artikel disunting oleh Abdul-Latiff MAB, Najmuddin M F, Nur-Zawani N.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: